Kini, sesiapa pun boleh meninggalkan komentar. Dijemput meninggalkan komentar jika berminat. Akan tetapi, setiap komentar akan ditapis terlebih dahulu. Jika menyerang individu, ianya tidak akan dipamerkan.

12.11.09

Pasca: Reban Ayam Itik

Aku masih ingat masa masih kecil, masa tu di Muar – di kampong aku sebelah ayah aku (ya, aku jawa). Masa kecil suka ikut ayah pergi kedai. Tapi masa tu aku tak ingat aku ikut siapa pergi ke kedai. Tapi yang pasti aku ingat aku pergi ke kedai di kawasan kampong tu. Dan sah-sah di kedai tersebut tidak banyak mainan yang tergantung elok seperti di kedai-kedai di bandar. Yang ada cuma jajan dalam telap, yang macam tak laku. Aku tak hairan langsung dengan tu semua pada masa tu. Tapi aku naik kagum dengan satu kotak pensil alatan geometri. Dalam tu ada jangka lukis, pembaris yang tiga segi tu, dan pensel kontot yang diikat bersama dengan jangka lukis tu. Sebenarnya aku nak pensil tu dengan pembaris je untuk menulis; walaupun masa tu aku belum pandai tulis pun.

Aku melalak di kedai tu untuk dapatkan set alat tulis geometri tu. Dan aku tak ingat dapat atau tidak. Tapi yang aku ingat selepas tu aku diberikan pensel dan buku untuk menulis. Balik rumah je, aku terus menulis. Tulis apa aku pun tak tahu sebab masa tu aku belum pandai tulis pun lagi. Aku rasa sebutan pun masih pelat-pelat lagi. Aku duduk betul-betul depan TV. Kebetulan azan masa tu. Aku tulis apa yang bilal tu sebut. Habis penuh 2, 3 mukasurat aku salin balik azan tu. Tapi tulisan aku tau tak betul sebab aku buat bulat-bulat yang bercantum-cantum. Punyalah teringin nak menulis masa tu. Biarlah salah pun, janji dapat tulis.

Lepas tu aku masuk tadika dan seterusnya. Aku terpilih untuk terus menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam sains komputer. Menulis lagi. Kali ni menulis aturcara. Aku diberi masalah dan seharusnya mencari jalan penyelesaian untuk masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah. Menyiapkan programming. Tapi disebabkan aku ni ‘rajin’ gila babi masa belajar Sains Komputer tu, aku gagal dan aku tak sempat menulis satu aturcara pun sehingga siap. Aku hanya tau asas je. Tau sampai pseudo-kod sahaja. Lepas tu aku dah tak reti dah. Hahaha. Sebab tu aku tak boleh jadi pengaturcara agaknya. Susah rupanya menulis programming ni. Aku bukan orang seperti itu kot.

Selepas itu, aku menyambung pengajian di universiti lain pula. Turun ke diploma semula. Ambil teater. Kali ini aku tidak menulis. Hanya terlibat di atas pentas. Hanya ketika aku berada di semester ke-lima aku menulis sebuah monolog “Tangan Kiri Ayah” untuk dipertandingkan secara kecil-kecilan di fakulti. Syukur, dengan karya itu aku mendapat persembahan terbaik dan juga karya asal terbaik. Sejak dari itu, aku rasakan aku perlu menulis. Tangan Kiri Ayah merupakan satu tribute kepada ayah aku sendiri. Karya itu dihasilkan dalam leboh kurang 30minit untuk persembahan kurang 10 minit. Dengan karya itu, aku sudah mementaskan di beberapa tempat. Rumah Pena, Malam Lagu, Puisi dan Kopi, Makan Malam Korporat (yang penganjurnya tak bayar payment lagi RM450. Sial!). Dan selepas beberapa tahun, karya itu dipilih oleh kawan aku sendiri untuk dipentaskan sempena pertandingan teater dwi-tahunan. Aku rombak balik skrip asal dan tambah mengikut kehendak penganjur. Pelakonnya ditukar kepada watak perempuan.

Aku kira, Tangan Kiri Ayah adalah titik mula aku menulis skrip teater. Selepas itu aku menulis Barah pada tahun 2007. Walaubagaimanapun, karya ini belum dipentaskan lagi atas sebab tertentu. Aku masih belum bersedia untuk mengarah teater ini pada waktu skrip itu dihasilkan. Tetapi jika diberikan peluang dalam masa terdekat ini, aku bersedia menerima cabaran untuk mengarahkan skrip itu.

Selepas Barah, aku menulis Berani Mati. Skrip itu pada asalnya dihasilkan untuk tujuan tugasan kelas tetapi dalam masa yang sama aku sememangnya mahu menghasilkan skrip panjang yang dapat digunakan untuk tujuan pementasan. Jadi, jadilah skrip itu. Dihasilkan pada tahun 2008 – setahun selepas aku tulis Barah. Lepas itu aku tulis beberapa karya pendek untuk pementasan 10 minit lebih kurang. Waiting For Godot Too yang dipentaskan di Festival Short+Sweet 2009 di KLPAC dan Kotak Hitam yang dihantar untuk menyertai pertandingan. Kotak Hitam belum dipentaskan lagi.

Pada awal tahun hari tu, aku telah tanam azam, aku mahu tulis paling kurang dua skrip panjang. Hahaha. Lawak sial. Azam yang aku rasa tak pernah aku azamkan sebelum ini. Biasa aku berazam untuk berhenti merokok, belajar rajin-rajin dan sebagainya (yang tipikal) tapi kali ni aku rasa macam poyo sebab tulis skrip. Haha. Tapi peduli apa aku. Biarlah orang cakap aku poyo dan macam bagus pun. Sebab aku memang poyo dan memang bagus. Jadi ianya tidak menimbulkan masalah pada kau kan. Yang kau sibuk apahal.

Berbalik kepada cerita. Aku dah berjaya tulis satu karya pada tahun dan berjaya dipentaskan baru-baru ini. Reban Ayam Itik. Sudah lama aku terfikir untuk membuat pementasan teater kanak-kanak selepas aku melihat hasil kerja Julie Taymor dalam Lion King. Begitu taksubnya aku dengan kerja dia. Aku cakap, aku nak buat cerita pasal ayam sebab ayam adalah simbol kepada kekuatan bagi orang kampong. Ada banyak simpulan bahasa yang dikaitkan dengan ayam. Jaguh kampong, ayam tambatan, hangat-hangat tahi ayam, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga, kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan banyak lagi. Jadi pada aku ayam adalah binatang yang unik dan menonjolkan kelainan. Tambahan aku orang kampong (ya, aku budak kampong. Kenapa?). Jadi binatang ini dekat dengan jiwa aku.

Aku pilih reban sebab di situlah simbol kepada kampong ataupun rumah yang kita duduki sepatutnya. Di dalamnya terdapat berbilang kaum. Ada itik, ayam belanda, ayam katik, angsa dan sebagainya. Mereka boleh hidup di dalam satu reban. Jadi, aku mahu kanak-kanak lihat dari perspektif ini. Lagipun, hidup di bandar ini tiada apa yang aku rasa best. Dah la jauh dari alam, jauh dari binatang pula tu. Nak jumpa ayam pun jarang-jarang. Ada sekali aku balik kampong dan ada sepupu kecil aku yang duduk dan dibesarkan dibandar. Dia nampak ayam tetapi dia cakap itu burung. Kasihan aku tengok mereka ni. Jadi aku tulis skrip ini atas tujuan itu, mendekatkan kampong dengan kanak-kanak bandar. Supaya mereka tidak lupa ayam tu macam mana. Kampung itu apa.

Ternyata pada malam persembahan, semasa aku menghisap rokok di luar panggung sementara menunggu persembahan bermula, ada seorang pemuda bercakap menerusi telefon. Aku tidak berniat nak curi dengar tetapi dia bercakap dengan kuat. Maka aku terdengar. Dia cakap, “hello Datuk (atau Dato’), ya. Budak-budak ada dengan saya. Saya bawa tengok show ni. ya, ya.. ya, ya..” dan seterusnya. Aku tidak kisah pun siapa yang menonton persembahan tu. anak Datuk ke, Datuk ke, atau sesiapa pun sebab aku bukan buat persembahan untuk meraikan sesiapa sebab aku buat show untuk meraikan penonton. Jadi sesiapa yang datang tidak akan diraikan sebagai menteri atau Datuk atau anak datuk. Kau datang dan tengok sahaja. kalau kau dapat sesuatu, dapatlah. Tak kisah kau siapa pun. Apa yang aku harap, budak-budak tu (anak Datuk tadi tu) akan ajak bapak dia balik kampong dan tengok ayam. Selain jengah atuk dia yang berada di kampong.

Persembahan ini dijayakan oleh kawan-kawan aku juga. Terima kasih kepada mereka yang turut menjayakan persembahan ini. terima kasih juga kepada yang datang menonton. Sekali lagi, aku tidak rakam persembahan ini sebab aku tidak mahu melihat kembali hasilnya. Bukan aku cakap tak bagus untuk dirakam tetapi aku tidak mahu orang lain melihatnya dalam bentuk video. Teater sepatutnya ditonton di panggung bukan melalui video.

Aku mahu teruskan menulis. Aku pegang kata-kata yang aku tak ingat dipetik dari mana. tapi yang aku ingat Usman Awang yang cakap. “menulislah untuk menyatakan sikap” – lebih kurang. Ya. Aku setuju. Menulis untuk menyatakan sikap orang lain (atau masyarakat) dan juga sikap diri sendiri. sebab itu aku kata, menulis itu adalah berbogel dengan cara yang lebih seksi. Maka, tulislah.

9.11.09

Promosi: Reban Ayam Itik


Dijemput hadir untuk menyaksikan pementasan REBAN AYAM ITIK. Teater kanak-kanak ini ditulis dan diarahkan oleh Fasyali Fadzly bin Saipul Bahri. Masuk percuma. Komentar setelah selesai menonton dialu-alukan. Datanglah beramai-ramai dan bawa anak saudara, adik-adik dan juga kanak-kanak yang anda suka ke pementasan ini nanti.

8.11.09

Tarikh Penting

8hb Novermber 2009
- Exam Digital & New Media Theory

9-10hb Novermber 2009
- Persembahan Teater Kanak-kanak – Reban Ayam Itik

11hb November 2009
- Recce 2+2=5

12hb November 2009
- 2.00pm Exam Teater Asia
- 8.30pm Keruan di Sebuah Ruang Sedar @ Stor Teater DBP

13-14hb November 2009
- Produksi Teater Moden

16hb November 2009
- Rehearsal Whoa! Willow bermula.

25-26hb November 2009
- Shoot 2+2=5

7hb Januari 2009
Show Whao! Willow. Rehearsal tamat

Mid Januari 2010
- Praktikal bermula

April 2010
- Praktikal habis

Julai 2010
- Semester baru/akhir

Oktober/November 2010
- Degree Showcase

November 2010
- Habis belajar

2011
- Tunggu tajaan

5.11.09

Mimpi Mamat Supervisor Kilang

Kebelakangan ini aku sibuk dengan segala urusan persekolahan yang akan menjelang tamat pertengahan November ini. Agak kelam kelibut sebenarnya. Aku ada benda yang nak ditulis tapi tak tertulis sampai dah terlupa apa yang aku nak tulis.

Jadi begini sahajalah. Semalam, aku ada aku latihan teater untuk penilaian subjek. Ada latihan sampai petang dan selesai sahaja, Gadis meminta aku untuk pergi bersamanya membeli barangan untuk persiapan persembahan teaternya. Agak penat tetapi aku turuti. Jadi aku pun mengajak rakan aku untuk pergi bersama memandangkan aku tidak ada kereta, dan cuaca hujan pada ketika itu. Pergi jam 9 malam. Dan aku tidak mahu bercerita tentang apa yang dilakukan ketika perempuan membeli barangan. Lebih-lebih lagi di Uptown. Sampai di rumah jam 2 pagi. Aku sudah tidak larat untuk pulang ke rumah dan terus tidur di rumah kawan aku tadi tu. Jam 9 pagi aku harus bangun dan balik ke rumah untuk mandi dan sebagainya. Kerana jam 10.30 pagi ada latihan lagi. Duh...

Tetapi ada sesuatu perkara menarik untuk aku tulis. Pengalaman semasa tidur itu. Pada aku ianya nikmat sebab dah lama aku tidak bermimpi. Mimpi yang merepek-repek. Dan kalau tak silap aku, masa aku tidur mimpi yang aku alami sangat surreal. Ceritanya begini.

Peringatan: Logik akal tidak wujud di sini.

Aku menunggang motorsikal di lebuhraya. Di kawasan tol, aku pun memasuki lorong motorsikal. Tetapi di sebelah kawasan tol itu, ada sebuah bangunan kilang. Jadi laluan motorsikal yang aku gunakan itu adalah berhampiran kawasan kilang. Sebelah kanan aku lebuhraya, jalan yang aku lalui itu laluan motorsikal dan sebelah kiri aku adalah tempat punggahan barang kilang tersebut. Aku lalu di bawah bumbung tempat pemunggahan barang di kilang tersebut.

Nak dijadikan cerita. Aku telah terjatuh semasa melalui belakang kilang tersebut – betul-betul di bawah bumbung kilang tersebut. Ada beberapa pekerja kilang yang datang membantu aku. Tangan kanan aku habis tersagat jalanraya. Calar dan sudah tidak kacak.

Aku diubati di situ. Disapu ubat kuning. Luka aku dicuci. Motor aku pula sudah tidak terdapat dalam bayangan. Mana hilang pun aku tidak tahu. Tiba-tiba hilang begitu sahaja. Dan secara tiba-tiba juga ada seorang supervisor kilang yang datang menghampiri aku dan menghalau aku. Katanya, aku tak boleh berada di situ kerana itu kawasan kilang. Dia memarahi pekerja-pekerja kilang yang berada di situ kerana membenarkan aku untuk masuk ke kawasan larangan. Setelah supervisor itu memarahi aku, aku berniat untuk menulis tentang keburukan supervisor tersebut di dalam blog ini. Pada aku, supervisor tersebut sangat celaka. Dan aku pun mendapatkan motorsikal untuk pergi dari situ. Dan terjaga dari tidur.

Aku tak puas hati sebab aku tak dapat nak tulis entri tersebut masa dalam mimpi. Kemudian aku sambung tidur kembali dan syukur, aku kembali ke mimpi yang sama. Aku harap aku dapat menulis tentang keburukan mamat supervisor tu dalam mimpi. Sekurang-kurangnya, aku puas hati walaupun dalam mimpi.

Tetapi sambungan mimpi aku tidak bermula di tempat yang aku terjaga tadi. Pandai dia. Dia mula awal sikit saat aku jatuh motor. Dan ceritanya seperti biasa. Aku dirawati dan disapu ubat kuning. Dibersihkan luka-luka. Dan semasa aku bermimpi, aku mengharapkan kemunculan mamat supervisor tu akan datang dan kali ini aku akan memerhatikan dengan jelas fizikal mamat tu. Tetapi harapan tinggal harapan. Mamat tu tak datang kerja hari tu. Sial. Dia tak datang memarahi aku. Setelah aku dirawat, aku terus mencapai motor dan gerak balik melalui lebuh raya tersebut dengan hati yang tak tenteram.

Dan akhirnya aku terjaga. Sial. Mana mamat tu pergi? Aku tak sempat nak tulis pasal mamat tu dalam blog masa aku sedang bermimpi. Jadi, untuk melunaskan harapan surreal aku, aku terpaksa menulis ini untuk memuaskan hati aku sendiri. Bukan tulis pasal mamat tu, pasal mimpi aku yang merepek.

Aku geram gila sebab tak dapat jumpa mamat supervisor tu masa dalam mimpi. Aku ingat nak tumbuk muka dia masa dalam mimpi tu sebab perangai dia yang menyakitkan hati aku. Kalau dapat jumpa dia masa dalam mimpi tu, memang aku mimpi aku pagi tu akan menjadi sangat bermakna sebab pagi-pagi aku dah boleh senyum. Mengharungi awal pagi dengan semangat mimpi yang indah. Cis.

P/s: Aku berani tumbuk mamat tu sebab dia hanya wujud dalam mimpi.

30.10.09

Promosi: Cetus (Projek KL Fringe)


Info lanjut klik di sini.

26.10.09

Membunuh Idea

Hujung minggu yang lalu aku sempat hadir ke satu forum. Tak perlu dinyatakan di sini tetapi aku pasti ianya bukan seperti BTN ataupun modul sahsiah dan kecemerlangan ataupun sebagainya. Suka aku hadir ke forum seperti ini kerana uniknya forum ini, panel-panelnya adalah dari kalangan muda-mudi yang mempunyai semangat dan kekuatan untuk menyebarkan pemikirannya kepada orang awam (yakni orang yang hadir pada forum itu). Aku rasa, umur mereka lebih kurang umur aku juga. Dapat dilihat melalui paras rupa, gaya percakapan dan semangat muda-mudi yang kuat mempertahankan idea masing-masing.

Jika ke majlis Biro Tatanegara, Modul Kecemerlangan Akademik, Modul Itu dan Ini dan sebagainya, rata-rata panel atau penceramah yang memberikan kata-kata adalah orang tua. Dan penyampaian mereka juga adalah sama sahaja setiap kali ke majlis seperti ini. Aku tidak mahu kata lebihlah tentang perkara ini tetapi suka aku mengaitkan cerita mengenai idea ini dengan teks Melayu lama.

Pernah terdengar kisah Singapura dilanggar todak? Kisah ini aku tidak pasti samada ianya tercatat dalam buku Sejarah Melayu atau tidak. Tetapi aku pernah terbaca buku lagenda ini semasa kecil dahulu. Suka aku mengaitkan teks-teks agung ini kerana ianya mampu hidup sepanjang zaman. Begitu juga dengan mitos dan teks kuno Yunani. Nietzsche juga turut mengambil mitos dan kisah kuno Greek untuk dijadikan falsafahnya. Kebanyakan buku-buku dan falsafah yang diterbitkan dan dihasilkan adalah terkesan dari mitos-mitos ini.

Seperti sedia maklum, semasa Singapura dilanggar todak, terdapat seorang Sultan yang memerintah negeri itu. Suatu hari, banyak todak telah menyerang pantai di mana kawasan tersebut terdapat perkampungan dan aktiviti yang dijalankan di situ. Akibatnya, ramailah penduduk yang tidak dapat keluar untuk menjalankan aktiviti di pesisir pantai tersebut. Maka, Sultan pun pening memikirkan apakah jalan untuk menghalang serangan todak tersebut. Maka, dikhabarkan kepada seluruh penduduk agar membina benteng betis untuk menghalang serangan todak. Sultan mengatakan, dengan menahan serangan menggunakan betis kaki manusia, maka serangan todak dapat dihapuskan. Maka berbarislah rakyat di sepanjang pesisir pantai untuk menangkis serangan todak. Malangnya, todak yang menyerang tidak sekadar menikam betis tetapi turut menikam bahagian badan lain. Akibatnya, ramai penduduk yang mati.

Sultan semakin runsing memikirkan tentang serangan todak yang tidak henti-henti itu. Kemudian datang budak kecil bernama Hang Nadim kepada Sultan yang berada dalam kegusaran. Hang Nadim adalah anak kepada Hang Jebat dan Dang Wangi. Selepas Jebat dibunuh, Wangi sempat membawa satu-satunya benih Jebat untuk diselamatkan. Maka, Hang Nadim ini dibesarkan tanpa bapa.

Pada ketika ini, aku menganggapkan bahawa, Wangi tidak langsung menceritakan kisah bagaimana bapanya dibunuh oleh Tuah atas kesalahan menderhaka kepada Sultan. Seolah-olah Wangi cuba hidup kembali sebagai seorang yang neutral. Membuka kisah baru dalam hidupnya. Jika Nadim tahu Sultanlah yang menyebabkan kematian bapanya, aku rasa mesti dia tak berikan ideanya kepada Sultan. Oh, mari kita kembali. Apa ideanya?

Maka, apabila melihat kegusaran Sultan, Hang Nadim pun datanglah memberikan ideanya. Hang Nadim mencadangkan bahawa betis manusia itu digantikan dengan batang pisang. Idea yang bernas itu diterima oleh Sultan dan para pembesar diraja termasuk Bendahara dan beberapa orang lagi. Maka, dikhabarkan kepada penduduk rakyat pada ketika itu supaya mencari batang pisang dan diletakkan sepanjang pesisir pantai untuk menghalang serangan todak yang menombak ke pesisir pantai. Muncung todak yang tertusuk ke batang pisang telah menyekat serangan todak.

Akhirnya, keadaan pun menjadi selamat. Idea Nadim itu membuahkan hasil. Akan tetapi timbul prasangka Bendahara. Prasangka ini ditimbulkan pula kepada Sultan. Bendahara mengatakan jika budak sekecil ini sudah mampu berfikir sebijak ini, tidak mustahil jika dia besar nanti, dia juga turut mampu mengalahkan kebijaksanaan Sultan. Sekaligus mengambil alih tampuk pemerintahan. Sultan dan Bendahara yang kaki bodek menjadi paranoia. Mereka memikirkan jalan terbaik untuk menghalang Hang Nadim dari mengambil alih tampuk pemerintahan. Akhirnya, mereka mengambil kata putus untuk membunuh Hang Nadim.

Hang Nadim telah diculik pada waktu malam. Dia diikat dan dicampakkan ke dalam laut. Begitulah berakhirnya kisah Hang Nadim. Pembunuhan Hang Nadim juga turut mematikan satu-satunya keturunan Hang Jebat.

Jika dilihat kini, ada dua cara untuk mematikan idea. Mengikut cara lama, adalah dengan membunuh tetapi cara moden adalah dengan mengurung. Dengan cara ini, idea-idea dan semangat-semangat yang dibawa akan turut terkubur lantaran ketakutan orang lain menerima nasib yang sama. Dan medium untuk mengurung adalah dengan adanya satu kuasa superior seperti kuasa Sultan dan Bendahara dalam kisah Hang Nadim itu tadi.

Dalam konteks Malaysia, ianya bolehlah disamakan dengan Internal Security Act (ISA). Biasanya mereka yang ditahan ini adalah mereka yang dilihat terlalu bebas untuk bersuara, berdemonstrasi jalanan, mengadakan perhimpunan haram dan sebagainya. Pendapat mereka mampu mempengaruhi orang ramai. Idea-idea mereka mudah diterima oleh orang ramai. Lantaran seperti kisah Hang Nadim tadi, ISA digunakan untuk membunuh. Membunuh apa? Membunuh idea. Dengan cara mengurung mereka dalam tahanan. Mereka tidak dibunuh secara fizikal tetapi idea mereka itu dibunuh. Mereka yang dikurung ini sudah pasti tidak akan dapat melantangkan suara dan idea mereka kepada awam lagi. Justeru itu, perkembangan idea mereka sudah pasti akan turut terkurung. Dan jika masih ada yang mahu bersuara lagi, mereka ini ditangkap dan turut dikurung.

Penahanan pemimpin Hindraf contohnya yang dilihat mampu menyebarkan idea dan semangat kesamarataan hak yang dituntut kepada kaum India yang lain. Jadi apabila beberapa pemimpin Hindraf ini ditahan, mereka yang lain akan turut senyap lantaran takut dibunuh (baca: dikurung). Pemimpin-pemimpin takut dengan kelantangan idea mereka ini mampu menggugat kedudukan mereka sebagai pemimpin yang ‘berwibawa’. Mereka yang ditahan ini, dikatakan boleh membawa kepada kehuru-haraan negara. Tetapi sebenarnya mereka paranoia. Sama seperti Sultan dan Bendahara di dalam kisah Singapura Dilanggar Todak itu. Mereka takut idea-idea mereka yang menuntut kesamarataan hak ini mampu menggugat keselesaan yang dikecapi selama ini.

Dari teks kuno ini juga kita dapat lihat, betapa jakinya mereka dengan Jebat dan keturunannya. Dengan membunuh Jebat dan anaknya Nadim, mereka mahu mengecapi kehidupan selesa hakiki buat selama-lamanya. Selesa di tampuk pemerintahan. Dan ini menjadi persoalan aku. Jika kisah kuno Singapura Dilanggar Todak ini diceritakan kepada masyarakat, mereka semestinya memihak kepada Nadim sebagai hero. Akan tetapi jika kisah ISA ini diceritakan kepada masyarakat, ‘Nadim’ itu dianggap penjahat. Agak pelik sebenarnya pemahaman mereka ini. Atau masyarakat tidak pandai membaca makna dalam teks Melayu lama? Atau masyarakat di sini memang tak suka membaca? oh.. suka membaca tetapi baca akhbar Utusan Malaysia sahajalah.

Teater Wangi Jadi Saksi (U-Wei Hj Shaari) turut memperlihatkan masalah ini. Wangi yang menjadi saksi kepada siapa pembunuh sebenar suaminya, Jebat turut dinafikan haknya menjelaskan kebenaran hanya kerana dia seorang wanita dan dayang istana pada ketika itu. Begitulah rendahnya taraf rakyat pada ketika itu (dan sekarang ini) sehingga hak-hak kebenaran yang sepatutnya dinafikan sewenang-wenangnya oleh golongan pembesar istana.

Jadi, senangkan mahu membunuh idea. Bunuh atau kurung.

p/s: rindu dengan teater Wangi Jadi Saksi.

19.10.09

Peristiwa : Lingkaran Kapur

Semalam dan kelmarin (Sabtu dan Khamis), aku pergi menonton sebuah persembahan teater karya Bertolt Brecht di Balai Budaya DBP. Aku pergi seorang diri tetapi di sana ditemani dengan kawan-kawan yang lain. Hari Khamis ditemani ramai gadis-gadis genit dan hari Sabtu pula ditemani rakan lama, Iskandar.

Aku hadir dua kali ke pementasan ini kerana ianya merupakan karya seorang tokoh teater dunia. Dia yang memperkenalkan konsep verfrumdung effect (V-Effect), alienation, Brecthian dan epic theatre. Pementasan in dijayakan oleh pelajar tahun akhir Diploma Seni Lakon dan Pengurusan Seni. Masing-masing akan dinilai berdasarkan proses dan pada malam persembahan. Bagi pihak pengurusan, mereka akan dinilai dari sudut pengurusan acara persembahan dari mula sehingga habis dan yang lakon akan dinilai dari aspek lakon bermula proses sehingga ke produk (pementasan). Teater ini diarahkan oleh Ches J.Skinner, pensyarah jemputan dari Kanada. Dia tidak boleh berbahasa Melayu tetapi mengarahkan teater berbahasa Melayu. Hal ini tidak pelik kerana semester lepas juga seorang pensyarah jemputan dari Amerika turut mengarahkan teater Shakespeare yang diadaptasi ke bahasa Melayu.

Saat aku melihat pementasan ini, aku tidak mahukan sesuatu yang di luar jangkaan. Baik atau sebaliknya itu terpulang. Seperti cikgu aku cakap, untuk mengkritik perlu hadir sebagai seorang yang naïf. Setelah menonton, baru melihat dengan pendekatan kritikal agar kita tidak terlalu awal memberikan penilaian terhadap apa-apa karya seni. Jadi, aku datang untuk menonton.

Aku mahu melihat dari sudut lakonan dahulu. Aku ada simpan petikan dari buku yang aku baca dahulu.

…Brecht outlines three phases of the actor’s work : in the first phase the actor loses him/herself in the character; in the second he/she searches for the subjective truth of the character; and the third he/she attempts to see the character from the outside. The Stanislavskian actor also works through the first two phase. (Eddershaw, 1996)

Dari petikan penyataan yang dibuat oleh Eddershaw dalam bukunya Performing Brecht, Forty Years of British Performance. Dalam Brechtian punya stail lakon, dia menambah satu lagi aspek lakon yang iaitu yang ketiga iaitu melihat watak dari luaran. Stanislavsky tidak mengatakan fasa yang ketiga ini kerana dia mahu watak yang dipaparkan itu jujur dengan sendirinya. Berbeza dengan Brecht, dia berpendapat sesuatu teater itu perlu memberi kesedaran secara langsung. Oleh sebab itu, pelakon perlu melihat watak itu secara luaran samada ianya memberikan impak kepada penonton atau tidak. Hal ini ditambah oleh Leach 2004 dalam buku Makers of Modern Theatre;

Then the character’s ‘super-task’ had to be worked out. The ‘super-task’ referred to the character’s place in the overall purpose of the play and how it contributed to its political, historical, moral, social, and aesthetic concerns. Discovering the super-task involved three steps. First, the actor had to look at his character objectively, concentrating especially on his function in the story, his concrete actions, and his status. He was actively to seek the contradictions in the part, note objectively the choices the character made. Second, he had to see the character ‘from inside’ , through his actions rather than his emotions: in phase two the actor empathises with the character and the ‘magic if’ places the actor in the circumstances of the character. The introduction of the ‘method of the physical actions’ is consistent with Brecht at this point since it focuses the actor on behaviour rather than feelings. Third, the actor had to ‘objectify’ the character and adopt a ‘critical attitude’ so that he could show that he was showing. This involved clarifying but not resolving the contradictions, and presenting not a ‘through-line’ but sweep and rhythm of zigzag path, inconsistent and certainly not ‘inevitable’. Finally, the actor should enjoy creating this contradictory, even fragmented being, should obtain ‘fun’ from it and from the result, and should present it to his audience with grace and humour.

Jadi, dalam pementasan ini pelakon adakalanya telah mengabaikan dua fasa yang pertama tadi. Brecht tidak langsung mengenepikan dua fasa ini tetapi menambah fasa yang ketiga teknik lakon ala Brechtian. Pelakon kebanyakannya terlupa bahawa mereka juga memeran watak.dan bukan sekadar berlakon. Jadi, apabila pelakon-pelakon muncul atas pentas tampak longgar dan tidak berjaya mengikat penonton untuk melihat aksi lakon. Memang Brecht juga tidak mahu penonton terikut-ikut dengan emosi pelakon tetapi pelakon perlu bijak mengasingkan emosi pelakon dari keseluruhan cerita. Aku rasa cerita itu sendiri tidak mendorong emosi audien tertumpah kepada persembahan kerana adegan-adegannya mudah dan biasanya kesimpulan adegan itu disampaikan oleh narrator. Jadi tidak ada masalah untuk pelakon turut menjiwai watak dengan baik mengikut dua fasa yang dinyatakan oleh Stanislavsky dan dipersetujui oleh Brecht selain menambah fasa yang ketiga tersebut.

Brecht juga adalah salah seorang penulis/pengarah yang memecahkan tembok ke-empat antara pelakon dan penonton. Dari segi pengarahan ianya berjaya ditonjolkan dalam pementasan ini. Pelakon bebas keluar dari mana-mana sudut. Tiada istilah belakang pentas dan ruang audien. Ruang ini dikongsi bersama antara pelakon dan audien. Fungsi narrator (aku pernah bincangkan di sini), turut digunakan secara meluas. Narrator adalah satu contoh yang jelas di mana tembok ke-empat ini dipecahkan. Pelakon perlu sedar dia hadir sebagai pelakon yang berinteraksi secara terus dengan audien. Dia juga perlu sedar yang dia juga turut berlakon. Jadi, dia memegang dua tugas, berlakon dan bercerita/menyampaikan mesej.

Ada juga dalam teks ini di mana watak-watak yang khusus turut berinteraksi secara terus dengan audien. Sebagai contoh watak Grusha yang kadang-kala berdialog dengan audien. Terdapat beberapa kelonggaran di mana pelakon yang melakonkan watak ini tidak tahu membezakan samada dia bercakap dengan rakan lakon yang lain ataupun dengan audien. Tonasi suaranya tidak dapat dibezakan dan juga terlalu terburu-buru untuk berdialog dengan rakan lakon. Mereka seolah-olah tidak dapat memecahkan tembok ke-empat ini. Alangkah baiknya jika mereka dapat betul-betul merasai yang mereka sedang bercakap dengan audien.

Jika pernah melihat siri televisyen Malcolm In The Middle, kita dapat lihat bahawa watak Malcolm ini memecahkan tembok ke-empat dengan bercakap dengan audien. Tetapi dia juga turut berlakon watak Malcolm. Pelakon kanak-kanak ini bijak membezakan antara berinteraksi dengan audien ataupun dengan rakan lakon. Inilah yang dikatakan stail lakon Brechtian.

Dari segi pengarahan pula, aku dapat lihat bahawa ianya sememangnya mengaplikasikan pendekatan Brecht. Pengarah menyatukan ruang antara pelakon, krew dan audien. Tiada apa yang tersembunyi. Projector dua biji berada di depan audien. Panel control lampu dan audio juga terpampang kelihatan di kiri dan kanan pentas. Mereka tidak duduk di satu kawasan khas seperti di bilik kawalan (control room). Brecht kata, semua yang berlaku semasa persembahan itu adalah teater sebenarnya. Bukan setakat persembahan sahaja tetapi aktiviti jurulampu, juruaudio, pemuzik, tatarias dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada teater. Hal ini akan menjauhkan audien dari terlalu mendalami emosi persembahan. Brecht tidak mahu audiennya terlalu beremosi semasa menonton. Jadi tidak hairan jika, watak Mikail itu hanya diinterpretasikan sahaja dengan kostum dan props sahaja. Jika ianya manusia nyata, tentu audien akan menumpang rasa simpati terhadap watak Mikail yang diperlakukan sebegitu oleh ibunya sendiri. Jadi, untuk menjauhkan rasa emosi tersebut, ianya digantikan dengan satu props yang dapat melambangkan kehadiran watak Mikail itu.

Pementasan ini juga boleh dianggap sesuatu yang menghiburkan. Akan tetapi, dari segi mesejnya ianya kurang jelas. Aku kira, mesej itu terletak pada dialog narrator terutama yang akhir itu. Tetapi penyampaian mesej pada dialog yang terakhir itu seperti diringankan sehingga menidakkan fungsi teater yang dikemukakan oleh Brecht yang mana mementingkan penyampaian mesej pada setiap persembahan teater. Akhirnya ianya sekadar pementasan yang menghiburkan. Jika narrator bijak bermain dengan dialog yang terakhir itu, tentunya audien akan sedikit terkesan dengan mesej (bukan terkesan dengan emosi) yang ingin disampaikan.

Dari segi sinografi pula, ternyata ianya sedikit bosan dan tidak mampu bercerita dengan visual. Ada pepatah yang mengatakan lebih kurang begini, gambar membawa seribu satu cerita. Jadi, jika bercakap dari sudut sinografi, tentunya ia bermain dengan imej. Dan imej itu adalah gambar. Dari segi set (maaf En Saat, Pereka set) ianya tidak dapat bercerita sedikit pun tentang latar cerita secara keseluruhan. Menggunakan konsep minimalism, set itu tidak berjaya bercerita dari sudut latar tempat. Bantuan sepenuhnya datang dari pancaran projector. Tiada simbol dari set yang dapat menghuraikan cerita Lingkaran Kapur. Atau mungkin ada tetapi ianya tidak dapat dibaca dengan jelas. Mungkin perlu beberapa objek dari set yang memberikan gambaran secara visual latar cerita itu dengan baik. Simbol-simbol peperangan, hutan, simbol Grusha atau apa sahaja yang dapat bercerita secara visual secara dominan. Tetapi ada satu sign yang aku suka adalah imej jambatan yang menggunakan dua set scaffolding. Ditambah cara lakon yang meyakinkan (pada ketika itu) bahawa dia, Grusha sedang menyeberangi jambatan reput itu.

Begitu juga dengan penataan cahaya. Aku kira, setiap adegan yang berubah itu perlu didinamikkan dengan bantuan cahaya. Jika tidak, ianya nampak statik dan beku. Tiada journey. Kita tidak nampak perjalanan Grusha yang jauh itu, keadaan perang yang menyesakkan dan menghuru-harakan itu. Jika set yang minimal itu dapat dicurahkan penataan cahaya yang menarik, tentunya ia dapat menimbulkan magik persembahan ini.

Walaubagaimanapun, aku tertarik dengan konsep kostumnya. Bertepatan dengan konsep minimal, kostum-kostumnya juga turut diwakilkan untuk memberi pengenalan sahaja kepada watak. Jika watak itu seorang askar, ianya cukup diwakili dengan baju askar. Tidak perlu pakaian lengkap seorang askar. Jika dia seorang tua, cukup dengan dibekalkan tongkat. Jika seorang tukang masak, cukup hanya digambarkan dengan topi chef sahaja. Magik bukan? Kita kenal watak itu tanpa perlu watak itu tampil dengan sempurna.

Untuk melihat pementasan ini secara menyeluruh, maaf aku katakan bahawa persembahan ini serabai. Aku kena jujur dalam mengkritik untuk penambahbaikan dari pihak yang dikritik dan juga pihak aku. Serabai dari segi visualnya. Ianya tidak mencapai status elok untuk ditonton. dari segi visual lakon ianya perlu ditambahbaikkan. Mungkin ada beberapa pelakon yang berjaya menyampaikan dengan baik tetapi secara ensemble, lakonan mereka terlalu mengada-ngada. Seperti budak baru lepas sekolah menjalankan satu pementasan untuk kawan-kawan. Ingat, untuk memasuki pasaran dan industri, perlu diketahui bahawa bukan kawan-kawan sahaja yang melihat hasil lakonan kita tetapi juga pengkritik, penonton dewasa dan juga ramai lagi yang lain. sekali lagi maaf jika peranggan akhir ini berbau emosi kerana saya sukar meng’alienate’kan rasa emosi dalam penulisan.

Perenggan akhir: aku dah tulis banyak kali frasa yang ini tetapi aku suka mengulang-ngulang frasa ini kerana ada magik di dalamnya.
plays should be fun – fun to do, fun to watch, otherwise why bother? (German playwright, Bertolt Brecht)

Rujukan
Leach, R. (2004). Makers of Modern Theatre, An Introduction. Routledge. London
Eddershaw, M. (1996). Performing Brecht, Forty Years of British Performance. Routledge. London.